Kegagalan Datuk Seri Anwar Ibrahim mendapatkan sokongan Ahli-ahli Parlimen (MP) dalam kem Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi disebabkan mereka sudah memiliki calon Perdana Menteri (PM) yang lain, ia sekaligus mengesahkan Ketua Pembangkang tersebut ditipu.
Zahid dan Datuk Seri Najib Razak bersama beberapa MP lain difahamkan menyokong MP Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah sebagai calon PM mereka, keputusan yang dibuat pada saat-saat akhir selepas tidak yakin dengan Anwar dapat menyelesaikan kes mahkamah yang sedang dihadapi kumpulan kluster mahkamah tersebut.
Sumber memberitahu, susulan keputusan tersebut ia menyebabkan Anwar tidak memiliki majoriti yang diperlukannya untuk menjadi PM sekiranya Tan Sri Muhyiddin Yassin meletak jawatan.
Namun, Zahid yang menyokong Tengku Razaleigh juga berdepan masalah kerana UMNO yang sudah berpecah dua, satu kumpulan lagi yang bersama Naib Presiden, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Menurut sumber, Zahid dan Najib tidak mempercayai Anwar dapat membebaskannya daripada pertuduhan kes mahkamah, ia menyebabkan mereka berdua mahu seseorang calon PM yang dapat menjadi boneka dan membantu mereka lepas daripada kes mahkamah yang sedang dihadapi.
“Zahid dan Najib tidak percaya kepada Anwar, mereka mengharapkan Tengku Razaleigh dapat membantu lepas daripada kes mahkamah yang sedang dihadapi ketika ini,” kata sumber dalaman yang rapat dengan kedua-dua pemimpin itu.
Tindakan tersebut memaksa Anwar menukar strateginya untuk mendapatkan sokongan dengan cuba memujuk Pengerusi Pejuang Tun Dr Mahathir Mohamad dan Presiden Warisan, Datuk Seri Shafie Apdal namun usaha tersebut gagal.
Lebih memalukan apabila mesyuarat yang sepatutnya berlangsung antara Pakatan Harapan (PH) dengan Dr Mahathir dibatalkan selepas tindakan portal pro-Amanah yang mendakwa sudah mendapat persetujuan Pejuang dan Warisan untuk menyokong Anwar sebagai PM baharu.
Untuk rekod, Warisan yang dipimpin Shafie mempunyai 8 kerusi MP dan dilihat setia bersama kem Dr Mahathir yang memiliki 4 kerusi parlimen.
Sejak awal lagi, Agenda Daily meramalkan Anwar bakal terjerat dengan strategi yang dicaturnya, berkali-kali dipesan supaya tidak percaya dengan Zahid yang mempunyai sejarah tidak bercakap benar, ia turut diakui rakan senior partinya, Datuk Seri Nazri Aziz yang menuduh Zahid seorang penipu besar.
Bagaimanapun, Anwar yang juga cikgu Zahid itu terlalu mempercayai anak muridnya, lebih malang lagi apabila rakan-rakan parti blok pembangkang seperti DAP dan Amanah pula boleh percaya bulat-bulat kepada Anwar.
Kini, DAP dan Amanah pula diheret sekali dalam kancah politik dan mereka nampaknya sekali lagi ditipu Anwar yang kononnya sudah memiliki majoriti walhal hakikatnya sudah ditipu Zahid dan kumpulannya.
Jika sebelum ini Anwar dilihat berpeluang untuk menjadi PM baharu, bagaimanapun dengan perkembangan terkini politik dan percaturan yang sedang digerakkan UMNO, nampaknya calon PM baharu akan menjadi milik UMNO yang akan kembali menjadi dominan di Putrajaya nanti.
Anwar hampir pasti akan sekadar menjadi PM yang sedang menunggu kerana kebodohan yang diciptanya sendiri.