PUTRAJAYA: Pembangkang secara prinsipnya sedia memberi sokongan kepada Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam usul undi percaya bagi menentukan keabsahannya sebagai Perdana Menteri.
Bagaimanapun, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sokongan itu akan diberikan sekiranya dasar dan program dilaksanakan Perdana Menteri itu pro rakyat dan mampu menyelesaikan isu pandemik COVID-19.
“Kita beritahu kalau keadaan ini dan program agak pro rakyat, kita tidak akan mempersulitkan (undi percaya),” katanya kepada pemberita selepas mengadakan perjumpaan dengan Perdana Menteri di Bangunan Perdana Putra, hari ini.
Selain Anwar, turut bersama dalam perjumpaan kira-kira satu jam itu ialah Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Mohamad Sabu.
Mengulas mengenai perjumpaan berkenaan, Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson menganggap pertemuan satu permulaan yang baik terutama dalam usaha menangani masalah COVID-19 yang lebih berkesan khususnya menyentuh golongan miskin serta mereka yang hilang pekerjaan.
“Kita anggap ini permulaan baik untuk kemukakan jalan penyelesaian bagi COVID-19 yang berkesan (antaranya) program pro rakyat yang lebih menyentuh permasalahan golongan miskin dan hilang pekerjaan. Itu yang akan kita tekankan sebagai asas.
“Untuk tenteramkan dan mengurangkan suhu politik, itu kita setuju. Kita kemukakan isu ini supaya menjadi tekanan dan keutamaan kepada Perdana Menteri yang baharu ini.
“Kita beri jaminan kalau program pro rakyat dan program tangani COVID-19 ini lebih berkesan, kita tiada masalah untuk menjamin supaya keadaan itu lebih terkawal,” katanya.
Anwar turut menegaskan tiada isu tawaran jawatan kepada ketua pembangkang dalam kabinet dibincangkan dalam pertemuan itu.
“Tidak berbangkit, saya pun tidak (berminat), saya tidak mahu itu dijadikan isu. Daripada awal kita nyatakan, kita tidak datang untuk meminta jawatan. Isu kita khusus soal ekonomi rakyat dan COVID-19,” katanya.
Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri yang mewakili parti UMNO kerana sanggup berbincang dengannya dan DAP.
“Saya sempat bergurau dengannya, ayat ‘No Anwar, No DAP’ ini nampaknya sudah berubah, dan Perdana Menteri memaklumkan ia adalah semangat titah Tuanku (Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah) untuk bekerjasama (dengan pembangkang),” katanya.
Anwar turut berkata, pertemuan itu tidak menyentuh jalinan kerjasama kerajaan dengan blok pembangkang dalam Majlis Pemulihan Negara (MPN) dan Jawatankuasa Khas Menangani COVID-19.