Ucapan Perdana Menteri Tan Sri Mahiaddin Yassin
Bismillahirrahmanirrahim
Assalamualaikum warahmatullahi wa barakatuh dan salam sejahtera Apa khabar semua? Saya doakan saudara dan saudari sihat walafiat.
1. Negara kita masih berhadapan dengan cabaran getir pandemik Covid-19. Saya dengan perasaan hiba ingin mengucapkan takziah kepada ahli keluarga mangsa Covid-19 yang telah pergi meninggalkan kita buat selama-lamanya dan mendoakan semoga semua pesakit Covid-19 diberikan kesembuhan segera.
2. Saya berharap program vaksinasi yang sedang giat dijalankan pada masa ini bakal memulihkan negara kita dalam tempoh tidak berapa lama lagi, insya-Allah.
3. Malaysia dijangka mencapai kadar vaksinasi 100 peratus populasi dewasa dan 80 peratus populasi keseluruhan pada bulan Oktober tahun ini, iaitu dalam jangkamasa dua bulan akan datang. Pada masa itu, insya-Allah, kes-kes Covid-19 akan mencatatkan penurunan yang ketara dan menjadi lebih terkawal.
4. Kita terus berdoa kepada Allah s.w.t. dan berikhtiar dengan sepenuh jiwa dan raga agar kita semua terhindar dari wabak ini. Saya amat menghargai pengorbanan para frontliners kita yang terus cekal bertugas saban hari tanpa mengenal penat dan lelah, serta kesabaran saudara dan saudari semua dalam menghadapi ujian getir ini. Insya-Allah, negara kita akan pulih.
5. Apabila negara kita telah pulih daripada wabak ini, saya percaya bukan sahaja kita semua dapat kembali kepada kehidupan biasa, tetapi dapat bersama-sama membawa semula negara kita ke mercu kejayaan dan kegemilangan.
6. Hari ini, kita telah mengumumkan bahawa ekonomi Malaysia berkembang sebanyak 16.1% pada suku kedua 2021. Berbanding dengan suku-suku sebelumnya, tren pemulihan yang berterusan ini adalah bukti jelas bahawa dasar-dasar kerajaan telah membuahkan hasil, walaupun dalam keadaan yang amat mencabar. Perkembangan ini disokong oleh Belanjawan 2021, serta pakej-pakej rangsangan dan bantuan Kerajaan. Pasaran kewangan dan modal kita juga menunjukkan daya tahan yang baik pada Suku Kedua 2021.
7. Melangkah ke hadapan, dengan pelaksanaan Pelan Pemulihan Negara dan peningkatan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, ekonomi Malaysia dijangka akan beransur pulih. Sasaran 50 peratus populasi dewasa negara divaksinasi sepenuhnya pada akhir Ogos akan membolehkan kita membuka semula kegiatan ekonomi dan sosial secara lebih meluas untuk memacu pemulihan ekonomi
8. I strongly believe, we will heal this nation together and bring back its glory.
9. Namun, saya berasa agak sedih dan dukacita dengan perkembangan politik yang sedang berlaku mutakhir ini. Hari ini, di hadapan saudara dan saudari semua, saya ingin bercakap secara jujur dan berterus terang.
10. Sebagai seorang manusia, saya tentunya tidak terhindar daripada kelemahan dan kekurangan. Apa lagi dalam keadaan saya sebagai Perdana Menteri yang memikul suatu tanggungjawab berat untuk mengurus pandemik yang luar biasa ini sejak lebih setahun yang lalu.
11. Pastinya, saya memerlukan sokongan dan dokongan daripada rakan-rakan saya dalam Kabinet, pimpinan kerajaan negeri, pegawai-pegawai kerajaan, frontliners dan rakyat seluruhnya untuk membolehkan saya melaksanakan tanggungjawab membawa negara ini keluar daripada krisis.
12. Tidak kurang pentingnya ialah sokongan rakan-rakan Ahli Parlimen dalam kerajaan Perikatan Nasional yang mana dengan sokongan merekalah saya berada di sini pada hari ini. Keabsahan saya sebagai Perdana Menteri ditentukan oleh sokongan majoriti Ahli-Ahli Parlimen.
13. Namun, malangnya dalam keadaan saya dan rakan-rakan dalam Kabinet berhempas pulas mengurus pandemik, beberapa Ahli Parlimen telah menarik sokongan kepada saya. Ini menimbulkan keraguan tentang keabsahan saya sebagai Perdana Menteri dan kedudukan Kerajaan Perikatan Nasional sebagai kerajaan yang memerintah.
14. Dalam keadaan ini, saya mempunyai dua pilihan menurut Perlembagaan Persekutuan. Saya boleh memohon perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong untuk membubarkan Parlimen dan mengadakan pilihanraya atau meletak jawatan.
15. Pilihan saya yang paling mudah ialah meletak jawatan. Jika saya mengambil keputusan ini, maka selesailah urusan saya dan terserahlah kepada kebijaksanaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang diPertuan Agong untuk memilih Perdana Menteri yang baharu. Menurut Perkara 43(2) Perlembagaan Persekutuan, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku boleh melantik seorang Perdana Menteri dari kalangan Ahli Dewan Rakyat yang pada hematnya mungkin mendapat kepercayaan majoriti Ahli Dewan Rakyat.
16. Saya patuh kepada Perlembagaan dan akan mengambil jalan yang terhormat untuk menyelesaikan kemelut politik yang sedang berlaku.
17. Namun, sehingga saat ini tiada seorang pun Ahli Dewan Rakyat lain yang dapat membuktikan dia mendapat sokongan majoriti Ahli Dewan Rakyat untuk membolehkan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong melantik Perdana Menteri baharu.
18. Jika saya meletak jawatan pada masa ini, bukan saya seorang sahaja yang berhenti menjadi Perdana Menteri. Menurut Perlembagaan Persekutuan, saya hendaklah meletakkan jawatan seluruh anggota Jemaah Menteri. Ini bermakna Kerajaan Perikatan Nasional yang mentadbir negara pada masa ini akan jatuh.
19. Saya memikirkan dalam keadaan tiada seorang pun Ahli Dewan Rakyat lain yang mendapat sokongan majoriti pada masa ini, Perdana Menteri yang baharu tidak boleh dilantik menurut Perlembagaan. Apabila Perdana Menteri tidak boleh dilantik, maka Kabinet pun tidak boleh dilantik dan kerajaan baharu tidak dapat dibentuk.
20. Apa akan jadi kepada negara kita sekiranya krisis politik berlarutan dan kerajaan baharu tidak dapat dibentuk dalam kadar segera? Kerajaan mana yang akan memastikan program vaksinasi berjalan lancar dan mengikut jadual?
21. Sedangkan tempoh dua bulan akan datang adalah amat genting. Jika semua perancangan kerajaan dapat dilaksanakan seperti yang dijadualkan, kita akan mencapai imuniti kelompok pada bulan Oktober. Sekiranya terganggu dengan kemelut politik yang tidak berkesudahan dan kerajaan yang sah tidak dapat dibentuk, sasaran imuniti kelompok tidak akan dapat dicapai dan nyawa rakyat akan terus berada dalam bahaya.
22. Justeru, saya telah merundingi rakan-rakan saya di dalam Kabinet dan pimpinan parti-parti dalam Kerajaan Perikatan Nasional untuk membuat keputusan yang terbaik demi rakyat dan negara. Bukan untuk kepentingan peribadi saya dan rakan-rakan yang lain.
23. Kami telah mencapai satu kata sepakat untuk berunding dengan pimpinan parti-parti di luar Perikatan Nasional untuk meluluskan usul undi percaya kepada Perdana Menteri di Dewan Rakyat. Ini akan membolehkan kerajaan yang ada pada hari ini terus berfungsi mengurus pandemik hingga tiba suatu masa yang sesuai untuk diadakan pilihan raya bagi mengembalikan semula mandat kepada rakyat. Usul undi percaya ini hanya boleh diluluskan dengan sokongan bipartisan di Dewan Rakyat.
24. Kerajaan yang akan wujud selepas usul undi percaya ini diluluskan adalah sebuah kerajaan yang lebih stabil dan inklusif. Stabil dengan dokongan bipartisan di Dewan Rakyat dan Dewan Negara, serta inklusif dengan pengiktirafan kepada parti-parti pembangkang untuk memainkan peranan semak dan imbang yang lebih efektif dan menyeluruh. Kestabilan politik adalah amat penting dalam kita memerangi pandemik Covid-19 dan memulihkan negara. Kita harus akur dan sedar, proses pemulihan negara ini bukan satu usaha yang mudah. Oleh itu, kita memerlukan sokongan, usaha dan tumpuan semua pihak untuk memulih dan mengembalikan negara yang kita cintai ini kepada landasan pembangunan dan pertumbuhan yang sihat. Apabila kita tidak dapat menstabilkan politik negara untuk membantu proses pemulihan, yang menanggung sengsara dan beban ini adalah rakyat. Yang rugi adalah rakyat dan tanah air kita ini.
Saudara dan saudari yang saya kasihi sekalian,
25. Di hari Jumaat yang mulia ini, saya ingin membentangkan cadangan rangka persefahaman rentas parti yang akan dilaksanakan oleh kerajaan sekiranya usul undi percaya diluluskan.
26. Pertamanya ialah mengenai peruntukan kepada Ahli-Ahli Parlimen. Baru-baru ini saya telah mengumumkan pemberian peruntukan 300 ribu ringgit kepada semua Ahli Dewan Rakyat dan Dewan Negara tanpa mengira parti politik bagi tujuan pembelian bakul makanan untuk diagih kepada rakyat yang memerlukan. Atas semangat kerjasama bi-partisan di Parlimen dan keperluan untuk memperluaskan bentuk-bentuk bantuan kepada rakyat dalam situasi pandemik, semua Ahli Parlimen akan menerima peruntukan tahunan yang sama tanpa mengira parti politik. Bagi Ahli Parlimen pembangkang, peruntukan untuk tahun ini akan dibuat secara prorata mengikut jumlah bulan yang berbaki.
27. Kedua, bagi mendokong prinsip “Whole of Government” dan “Whole of Society” dalam memerangi pandemik Covid-19 , Menteri Kewangan telah mengadakan libat urus dengan pelbagai pihak termasuk pimpinan parti pembangkang untuk mendapatkan input dan cadangan bagi menambahbaik Pelan Pemulihan Negara. Sehubungan itu, Kementerian Kewangan telah meneliti dan bersetuju untuk menerima beberapa cadangan dan input yang telah diutarakan.
28. Sejajar dengan cadangan yang telah diterima, Kerajaan akan membentangkan untuk kelulusan Parlimen penambahan siling Dana Covid-19 sebanyak RM45 bilion dari RM65 bilion seperti yang diluluskan oleh Parlimen tahun lalu kepada RM110 bilion. Peningkatan ini akan membantu memenuhi keperluan tambahan dalam mengatasi krisis Covid-19 dari segi mengukuhkan sistem kesihatan, menambahbaik bantuan kepada rakyat dan menyokong kelangsungan perniagaan.
29. Dalam menangani krisis kesihatan Covid-19, peruntukan tambahan akan disediakan untuk meningkatkan dan menyegerakan usaha menyaring kes Covid-19, pengesanan kontak rapat dan pengasingan mereka yang positif atau test, trace and isolate. Kerajaan juga akan mengukuhkan sistem kesihatan terutamanya dalam menambah petugas kesihatan serta meningkatkan kapasiti wad ICU, termasuk penyumber luaran pesakit dari hospital awam ke hospital swasta, selaras dengan pendekatan “Whole of Nation”.
30. Dari aspek bantuan kepada rakyat pula, Kerajaan komited untuk membantu golongan terjejas. Bantuan tunai sebanyak RM10 bilion akan disalurkan kepada 11 juta penerima dalam separuh kedua tahun 2021. Bantuan tunai bagi mereka yang memerlukannya akan diteruskan pada tahun 2022, bukan sahaja untuk golongan B40 tetapi juga meliputi bantuan bersasar kepada golongan miskin tegar, miskin bandar dan M40 yang kehilangan pendapatan.
31. Bagi menyokong kelangsungan perniagaan dan pemulihan ekonomi, dana tambahan Kumpulan Wang Covid-19 akan digunakan bagi membantu insentif pengambilan pekerja serta meningkatkan pembiayaan kepada PKS, terutamanya dalam meraih peluang ekoran pembukaan semula ekonomi selaras dengan pelaksanaan PPN.
32. Ketiga, sekiranya Kerajaan berjaya mendapatkan sokongan bi-partisan di Dewan Rakyat dan Dewan Negara yang melebihi majoriti dua pertiga, suatu Rang Undang-Undang Pindaan Perlembagaan untuk menghadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada dua penggal sahaja dan Rang UndangUndang Anti-Lompat Parti akan dibentangkan di Parlimen.
33. Keempat, Kerajaan juga akan memperkukuhkan reformasi Parlimen dengan memastikan jumlah Ahli Parlimen Kerajaan dan Pembangkang yang menganggotai Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen adalah lebih seimbang. Jumlah Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen juga boleh ditambah untuk memastikan semua Ahli Parlimen dapat memainkan peranan semak dan imbang yang lebih berkesan menerusi penglibatan mereka dalam jawatankuasa ini. Sebagai pengiktirafan kepada peranan semak dan imbang di Parlimen, 50 peratus Jawatankuasa Pilihan Khas akan dipengerusikan oleh Ahli Parlimen Kerajaan dan 50 peratus lagi oleh Ahli Parlimen pembangkang. Sejajar dengan jangkaan bebanan tugas yang akan bertambah dalam melaksanakan fungsi semak dan imbang yang lebih efektif, Kerajaan akan menyediakan kakitangan sokongan dan saraan yang berpatutan kepada semua Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen.
34. Kelima, Kerajaan telah bersetuju untuk melaksanakan Undi 18 tanpa menunggu pelaksanaan pendaftaran automatik yang akan mengambil masa. Untuk itu, satu Rang Undang-Undang Pindaan Perlembagaan akan dibentangkan di Parlimen untuk tujuan ini. Saya berharap, dengan adanya kerjasama bi-partisan di Parlimen, rang undang-undang ini akan dapat diluluskan.
35. Keenam rang undang-undang termasuk rang undang-undang perbekalan yang akan dibentangkan di Parlimen akan dirundingi terlebih dahulu dengan semua Ahli Parlimen. Suatu rang undang-undang hanya akan dibentangkan sekiranya mendapat sokongan majoriti Ahli Parlimen.
36. Akhirnya yang Ketujuh, sebagai pengiktirafan kepada peranan parti pembangkang yang mempunyai jumlah perwakilan yang hampir seimbang di Dewan Rakyat, Ketua Pembangkang akan diberikan saraan dan kemudahan yang setara dengan seorang Menteri Kanan.
Saudara dan saudari yang saya kasihi sekalian,
37. Saya tidak berhasrat untuk terus berpaut pada dahan kuasa. Dalam keadaan ini, adalah wajar mandat dipulangkan semula kepada rakyat untuk memilih kerajaan yang baharu apabila tiba masa yang lebih sesuai. Justeru, bergantung kepada situasi pandemik, saya membuat akujanji bahawa pilihan raya umum ke lima belas akan diadakan selewat-lewatnya pada penghujung bulan Julai tahun hadapan.
38. Tujuan saya kemukakan cadangan ini ialah untuk membolehkan kerajaan terus berfungsi di waktu pandemik dengan sokongan bi-partisan di Parlimen. Pada masa yang sama, saya juga seperti anda semua, mempunyai tanggungjawab untuk tidak membiarkan kumpulan kleptokrat memerintah jika kemelut politik ini tidak diselesaikan segera.
39. Maka, saya dengan penuh takzimnya menjemput semua pimpinan parti politik untuk membincangkan cadangan-cadangan ini pada minggu hadapan. Saya akan mengeluarkan jemputan rasmi kepada semua pimpinan parti politik untuk menghadiri perbincangan ini. Saya bersedia untuk mendengar pandangan mereka berhubung cadangan ini.
40. Sekiranya cadangan kerjasama bi-partisan ini dipersetujui, saya akan memanggil Sidang Khas Dewan Rakyat untuk membentangkan usul undi percaya kepada Perdana Menteri dalam masa terdekat.
41. Saya memberi jaminan bahawa saya akan mengambil tindakan yang terhormat dan berperlembagaan dalam menyelesaikan kemelut politik yang berlaku pada masa ini. Keutamaan saya hanyalah untuk memastikan kerajaan terus berfungsi dengan baik untuk menangani pandemik dan memulihkan negara.
42. Kepada Allah jualah saya berserah.
Bismillahi tawakkaltu Ala Llah.
Wabillahi al-taufik wal hidayah wassalamu’ alaikum wa rahmatullahi wabarakatuh.
YAB Tan Sri Dato’ Haji Muhyiddin bin Haji Mohd Yassin
Perdana Menteri
13 Ogos 2021
SUMBER